KETIKA Covid-19 melanda negara kita pada awal tahun 2020, kerajaan melaksanakan peraturan ketat untuk keselamatan semua.
Kini, walaupun Malaysia berada dalam fasa ‘Peralihan ke Endemik’ susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, ia tidak bermakna negara kita telah bebas daripada ancaman Covid-19.
Orang ramai juga sudah menerima dan menganggap wabak ini seperti demam selesema biasa. Pun begitu, sekiranya dijangkiti, adakah cukup untuk sekadar kuarantin diri di rumah?
Ikuti temu bual dengan Perunding Respiratori yang juga Profesor Madya di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, DR. HELMY HAJA MYDIN. Beliau turut terlibat dalam merawat pesakit Covid-19 menyentuh perlunya rakyat Malaysia melindungi diri dan orang tersayang terutama mereka yang berisiko tinggi daripada Covid-19.
Soalan: Adakah penerima vaksin dan bekas pesakit Covid-19 kebal jangkitan? Atau mereka boleh dijangkiti semula virus itu?
Dr. Helmy: Terdapat golongan yang menganggap diri mereka sudah ‘kebal’ selepas disahkan sembuh daripada jangkitan Covid-19 dan mungkin memandang ringan terhadap langkah keselamatan yang disyorkan.
Keyakinan tanpa asas ini dikhuatiri bakal menjadi ancaman kepada lebih ramai orang kerana golongan yang berasa ‘kebal’ mungkin tidak lagi memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal serta penjagaan kebersihan.
“Setakat ini tidak ada jaminan bahawa mereka yang sudah sembuh daripada jangkitan Covid-19 tidak boleh dijangkiti semula.
“Vaksin Covid-19 pula diberikan untuk mengawal penularan penyakit Covid-19. Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian berlaku komplikasi penyakit Covid-19 yang lebih teruk.
“Walaupun vaksin boleh mengurangkan risiko penyakit yang teruk. Namun golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah serta individu yang ada komorbid masih boleh mengalami kesan yang teruk akibat Covid-19 sehingga menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian.
Ini merupakan peringatan bahawa kita tidak patut mengambil ringan tentang Covid-19 dan harus terus mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri kita dan orang tersayang.
Soalan: Bolehkah Dr. Helmy terangkan dengan lebih lanjut tentang golongan yang berisiko tinggi dan apakah itu komorbiditi?
Dr. Helmy: Antara contoh golongan berisiko tinggi ialah warga emas, kanak-kanak, wanita mengandung, pesakit kronik atau mereka yang mempunyai komorbiditi (diabetes, hipertensi, sakit jantung, asma), pesakit imuniti rendah (kanser, HIV) serta mereka yang menghidap penyakit autoimun, seperti lupus dan rheumatoid arthritis.
Penyakit komorbid adalah salah satu istilah yang sering dikaitkan dengan penyakit Covid-19. Mereka yang mempunyai penyakit komorbid adalah lebih berisiko menderita gejala yang parah apabila dijangkiti Covid-19.
“Komorbid ditakrifkan sebagai orang yang mempunyai dua atau lebih penyakit/ keadaan perubatan yang tidak berkaitan secara serentak. Sebagai contoh, pesakit diabetes boleh menghidap tekanan darah tinggi (hipertensi) atau pesakit kanser yang menghidap penyakit asma pada masa yang sama.
Penyakit yang dihidapi akan melemahkan sistem badan, menyukarkan badan untuk menghapuskan punca penyakit dan melawan penceroboh asing seperti virus dan bakteria. Apabila seseorang individu menghidap dua atau lebih penyakit pada masa yang sama, ini boleh membebankan badan. Oleh itu, pesakit tersebut mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih daripada seseorang yang tidak mempunyai sebarang komorbid.
Soalan: Apakah rutin yang boleh diamalkan untuk melindungi diri kita dan orang tersayang?
Dr. Helmy: Masyarakat disarankan menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran untuk tujuan diagnosis. Langkah berkenaan amat penting terutama bagi golongan rentan termasuk warga emas dan ahli keluarga yang mempunyai masalah komorbiditi dalam usaha mengelakkan jangkitan tidak disedari sehingga terlewat merawatnya.
Individu yang perlu menjalani ujian saringan adalah individu yang mempunyai gejala dan yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit disahkan positif Covid-19. Ini adalah untuk memastikan anda tidak menyebarkannya kepada orang yang anda sayangi, terutama mereka yang berisiko tinggi mengalami Covid-19 yang teruk. Sekiranya anda disahkan negatif dan tiada gejala, maka tidak perlu untuk melakukan ujian ulangan.
Yang paling penting, bertindak pantas jika anda test positif dan bergejala. Amalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) dan dapatkan nasihat doktor segera, terutamanya jika anda antara golongan berisiko tinggi.
Soalan: Apakah jenis rawatan yang tersedia untuk Covid-19?
Dr. Helmy: Rawatan tersedia diberikan kepada pesakit Covid-19, terutama mereka yang berisiko tinggi untuk mengelakkan penyakit menjadi lebih teruk, mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian. Rawatan harus dimulakan secepat mungkin sejak mula bergejala.
- Ubat antiviral – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menggunakan ubat antiviral di fasiliti kesihatan KKM bagi merawat pesakit Covid-19 kategori dua dan tiga. Rawatan harus dimulakan secepat mungkin selepas diagnosis dilakukan untuk keberkesanan yang optimum.
- Ubat antibodi monoclonal – ubat ini boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan atau Preexposure prophylaxis (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.
Golongan berisiko tinggi yang disahkan positif dinasihatkan segera hadir ke CAC di klinik kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian rawatan. Begitu juga dengan individu yang positif dan mengalami simptom yang semakin teruk dikehendaki hadir ke CAC atau hospital berhampiran segera untuk pemeriksaan lanju.
Paracetamol boleh melegakan kesakitan ringan atau sederhana seperti mengurangkan suhu badan dan/atau ketidakselesaan akibat demam. Bagaimanapun, orang ramai disarankan agar segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan jika gejala Covid-19 yang mereka alami semakin memburuk.
Kesimpulannya, jika didapati Covid-19 positif, golongan berisiko tinggi dinasihatkan hadir ke CAC di klinik kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian rawatan. Individu yang positif dan mengalami simptom yang semakin teruk juga dikehendaki hadir ke CAC atau hospital berhampiran segera untuk pemeriksaan lanjut.
Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan termasuk amalkan TRIIS sebelum menghadiri aktiviti sosial atau jika bergejala dan dapatkan ujian Covid-19 dengan segera jika mereka mempunyai simptom. – UTUSAN