PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mengubah dasar termasuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China malah dari semua negara.
Beliau berkata, KKM memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan yang dibuat oleh beberapa negara lain terhadap pengembara dari negara berkenaan.
“Perkara ini sememangnya keutamaan KKM ketika ini. Ia satu kaedah bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 dan sebarang kemungkinan peningkatan kes. Dengan pelanjutan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaliha berkata, KKM sentiasa bersiap siaga meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berhubung kes Covid-19.
Katanya, kementerian itu sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta rakan-rakan negara ASEAN.
Menurutnya, KKM juga sentiasa mengambil polisi berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat.
“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia.
“Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus itu dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa tidak lama lagi vaksin bivalen dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini.
Katanya, pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.
“Justeru, KKM menggesa orang ramai yang menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen. Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.
“Kami amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutama daripada golongan yang berisiko. Ketika ini hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia yang mendapat vaksin dos penggalak pertama dan1.9 peratus sahaja yang mengambil vaksin dos penggalak kedua,” katanya. – UTUSAN