ALOR SETAR: Kerajaan digesa menggantung sementara penerbangan keluar masuk ke China berikutan penularan Covid-19 yang sedang mencanak naik di negara itu, ketika ini.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hairoul Faizey Syed Ali berkata, kerajaan juga disyor mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyekat kemasukan rakyat China ke negara ini.
Katanya, penularan Covid-19 pada awal 2020 yang datang dari China perlu diambil kira dan dijadikan pengajaran agar kejadian sama tidak berulang.
“Kedatangan pelancong asing ke negara ini diakui akan merancakkan lagi sektor ekonomi negara yang kini dalam fasa pemulihan namun dalam masa sama, jangan kita lupakan fakta bahawa wabak Covid-19 sedang ‘mengganas’ terutamanya di China.
“Perkasa dengan tegas menggesa kerajaan menggantung sementara penerbangan keluar masuk ke China. Langkah ini diharap dapat mengekang penularan Covid-19 daripada kembali berleluasa di Malaysia.
“Selain itu, kerajaan disyorkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyekat kemasukan rakyat China ke negara ini untuk satu tempoh ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akhbar melaporkan, lebih separuh daripada penumpang dua pesawat yang mendarat di Milan, Itali baru-baru ini didapati positif Covid-19.
Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) pula secara konservatif menyasarkan kemasukan kira-kira 300,000 pelancong dari China ke negara ini tahun depan, susulan kelonggaran protokol kuarantin terhadap pengembara yang masuk ke negara itu berkuat kuasa 8 Januari 2023.
Tambah Syed Hairoul, buat masa ini kerajaan perlu menetapkan agar pelancong melakukan ujian kendiri serta saringan ujian kesihatan sebelum masuk ke negara ini.
“Laporan MySejahtera juga perlu dilaksanakan di setiap pintu masuk negara. Semua ini perlu dilaksanakan bagi membendung Covid-19 daripada terus berkembang ke negara ini,” katanya. – UTUSAN