PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 1,307 kes berbanding kelmarin, 1,639 kes sekali gus diatasi 1,830 kes sembuh.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my, hari ini, Selangor menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 312 kes diikuti Kuala Lumpur (200), Sabah (144), Negeri Sembilan (123) dan Perak (119).
Bagi negeri catat bawah 100 kes iaitu Kedah (78), Kelantan (58), Johor (51), Sarawak (50), Pulau Pinang (50), Melaka (37), Terengganu (34), Pahang (27) dan Putrajaya (17). Hanya dua lokasi mencatatkan kes satu angka iaitu Perlis, lima kes dan Labuan, dua kes. Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 305 orang berbanding kelmarin, 322 orang. Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 55 kes berbanding jumlah kelmarin, 60 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 36 kes berbanding jumlah kelmarin, 39 kes. Bagi kluster Covid-19 pula, satu kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan sebanyak 17 kluster yang masih aktif dengan keseluruhan 7,078 kluster.
Kluster baharu itu melibatkan kumpulan berisiko tinggi, Kluster Dah Jalan Mendidih di Kuala Muda, Kedah dengan lima kes. Dalam perkembangan melibatkan kematian Covid-19, Malaysia mencatatkan lima kes berbanding jumlah kelmarin, empat kes sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 36,317 kes.
Satu kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,719 kes.