PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 2,464 kes berbanding kelmarin, 2,798 kes sekali gus diatasi 4,427 kes sembuh.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my, hari ini, Selangor menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 748 kes diikuti Kuala Lumpur (505), Sabah (225), Perak (195), Negeri Sembilan (167) dan Johor (101). Bagi negeri catat bawah 100 kes iaitu Pinang Pinang (91), Melaka (85), Kedah (70), Pahang (66), Sarawak (62), Putrajaya (50), Kelantan (45), Terengganu (43), Perlis (9) dan Labuan, dua kes.
Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 426 orang berbanding kelmarin, 432 orang. Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 69 kes berbanding jumlah kelmarin, 65 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 33 kes berbanding jumlah kelmarin, 39 kes. Bagi kluster Covid-19 pula, tiada kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan sebanyak 36 kluster yang masih aktif dengan keseluruhan 7,065 kluster.
Dalam perkembangan melibatkan kematian Covid-19, Malaysia mencatatkan sembilan kes bersamaan jumlah kelmarin sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 36,145 kes. Tiada kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,678 kes. – UTUSAN