PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 5,330 kes berbanding kelmarin, 4,204 kes sekali gus mengatasi 3,075 kes sembuh.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my, hari ini, Selangor terus menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 2,054 kes diikuti Kuala Lumpur (1,449), Perak (316), Sabah (277), Negeri Sembilan (227), Pulau Pinang (195), Melaka (169), Kedah (137) dan Johor (113).
Ini diikuti Sarawak (92), Putrajaya (81), Kelantan (72), Pahang (66), Terengganu (47), Perlis (24) dan Labuan, 11 kes.
Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 555 orang berbanding kelmarin, 534 orang. Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 49 kes bersamaan jumlah kelmarin, 56 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 34 kes berbanding jumlah kelmarin, 36 kes. Bagi kluster Covid-19 pula, satu kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan sebanyak 19 kluster yang masih aktif dengan keseluruhan 7,042 kluster.
Satu kluster baharu melibatkan kategori pendidikan iaitu Kluster Lengkungan Duta di Kepong, Kuala Lumpur dengan 24 kes. Dalam perkembangan melibatkan kematian Covid-19, Malaysia mencatatkan 10 kes berbanding jumlah kelmarin, lapan kes sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 35,995 kes.
Satu kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,647 kes. – UTUSAN