PUTRAJAYA: Rawatan menggunakan ubat Paxlovid akan diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam waktu yang terdekat dengan pemberiannya kepada pesakit adalah secara percuma.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut.
Katanya, penggunaan ubat antiviral Paxlovid telah dimulakan di fasilti kesihatan Kementerian Kesihatan sejak 15 April bagi merawat pesakit Covid-19.
“Paxlovid merupakan ubat antiviral oral pertama di Malaysia untuk merawat pesakit Covid-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana ataupun kategori dua dan tiga. Keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sehingga 5 Jun, seramai 1,364 pesakit diberikan rawatan Paxlovid dan telah sembuh sepenuhnya serta tiada sebarang kesan sampingan teruk dilaporkan, selain rawatan itu terbukti selamat dan berkesan serta dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan dan kadar kematian pesakit Covid-19.
Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan juga dalam usaha memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19 yang optimum dan akan memulakan rawatan ubat antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat.
“Kajian menunjukkan ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima daripada jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan. Buat masa ini, ubat antibodi EVUSHELD ini hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan atau Pre exposure prophylaxis (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covi-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.
“Penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi ini akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat dan kriteria pemilihan pesakit adalah seperti berusia 12 tahun dan ke atas, mempunyai berat badan melebihi 40 kilogram dan dalam kalangan golongan immunocompromised sederhana hingga teruk,” katanya.
Beliau berkata, ini mengambil kira tindak balas imun golongan ini terhadap vaksinasi Covid-19 yang berkemungkinan tidak mencapai tahap imuniti yang memuaskan atau individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya akibat sebab-sebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin Covid-19.
“Kaedah pemberian ubat antibodi ini adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab serta diberikan secara berturut-turut. Bagi pesakit immunocompromised yang telah menerima vaksin Covid-19, EVUSHELD hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua minggu selepas vaksinasi,” katanya. – UTUSAN