PUTRAJAYA: Malaysia semalam merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 1,517 kes berbanding kelmarin, 1,127 kes sekali gus mengatasi 1,125 kes sembuh.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my, hari ini, Selangor mencatatkan kes positif harian tertinggi iaitu 564 kes diikuti Kuala Lumpur (390), Pulau Pinang (89), Sabah (65), Negeri Sembilan (65), Sarawak (60), Perak (59), Johor (57) dan Kedah (52). Ini diikuti Melaka (38), Kelantan (26), Terengganu (17), Putrajaya (16), Pahang (12), Perlis (6) dan Labuan, dua kes.
Pesakit Covid-19 yang masih diwadkan meningkat kepada 470 orang berbanding kelmarin, seramai 407 orang. Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 26 kes berbanding jumlah kelmarin, 25 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 14 kes berbanding jumlah kelmarin, 12 kes. Bagi kluster Covid-19 pula, satu kluster baharu direkodkan manakala sebanyak empat kluster yang masih aktif sekali gus menjadikan 7,015 keseluruhan kluster.
Dalam perkembangan melibatkan kematian, enam kes dilaporkan menjadikan dan jumlah terkini sebanyak 35,705 kes. Selain itu, tiga kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,570 kes. – UTUSAN