PUTRAJAYA: Malaysia semalam merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 3,321 kes berbanding kelmarin, 2,601 kes dan mengatasi 1,416 kes sembuh.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my, hari ini, Selangor mencatatkan kes positif harian tertinggi iaitu 1,220 kes diikuti Kuala Lumpur (573), Negeri Sembilan (288), Perak (221), Pulau Pinang (208), Putrajaya (182), Melaka (140), Kedah (98), Johor (88), Pahang (73) dan Sarawak (71).
Ini diikuti Sabah (57), Terengganu (42), Kelantan (37), Labuan, (14) dan Perlis, sembilan kes.
Pesakit Covid-19 yang masih diwadkan meningkat kepada 649 orang berbanding kelmarin, seramai 586 orang dan kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan penurunan kepada 59 orang berbanding jumlah kelmarin, 67 orang.
Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut merekodkan penurunan kepada 34 kes berbanding jumlah kelmarin, 38 kes.
Bagi kluster Covid-19 pula, tiada kluster baharu direkodkan manakala sebanyak 68 kluster yang masih aktif sekali gus menjadikan 7,010 keseluruhan kluster.
Dalam perkembangan berkaitan kematian Covid-19, lapan kes dilaporkan menjadikan dan jumlah kematian terkini sebanyak 35,598 kes.
Selain itu, tiga kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) yang menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,539 kes. – UTUSAN