PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 11,994 kes berbanding kelmarin, 12,105 kes sekali gus diatasi 16,603 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam turut merekodkan penurunan kepada 197 kes berbanding kelmarin, 221 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 108 kes berbanding kelmarin, 122 kes.
“Bagi kluster Covid-19 pula, empat kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, sifar kes sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 6,945 kluster. Kluster aktif Covid-19 kekal mencatatkan 151 kluster bersamaan kelmarin manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,794 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 90 kes daripada 11,994 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 11,904 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 90 kes kategori tiga, empat dan lima, 24 kes (26.67 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 30 kes (33.33 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 36 kes (40.00 peratus) telah menerima dos penggalak. Selain itu, 53 kes (58.89 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; 58 kes (64.44 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (1.11 peratus) ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 36 kes berbanding semalam, 32 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,228 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak sembilan daripada 36 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,443 kes. – UTUSAN