PUTRAJAYA: Malaysia semalam terus mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 2,478 kes berbanding kelmarin, 4,006 kes bagaimanapun terus diatasi 9,215 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam kekal merekodkan 98 kes bersamaan jumlah kelmarin.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan kepada 63 kes berbanding kelmarin, 61 kes.
“Sebanyak 32 kes daripada 2,478 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki kes harian, 2,446 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 32 kes kategori tiga, empat dan lima, 16 kes (50 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 10 kes (31.25 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan enam kes (18.75 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 18 kes (56.25 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas dan 19 kes (59.38 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan sebanyak lapan kes berbanding semalam, lapan kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,507kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), dua kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,515 kes. – UTUSAN