PUTRAJAYA: Malaysia semalam terus mencatatkan peningkatan semula kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 10,052 kes berbanding kelmarin, 9,002 kes sekali gus terus diatasi 15,893 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan peningkatan kepada 161 kes berbanding 151 kes kelmarin.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan peningkatan kepada 99 kes berbanding kelmarin, 97 kes.
“Bagi kluster Covid-19, tiga kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, tiga kluster sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 6,958 kluster. Kluster aktif Covid-19 mencatatkan 113 kluster berbanding kelmarin, 117 manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,845 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 65 kes daripada 10,052 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 9,987 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 65 kes kategori tiga, empat dan lima, 21 kes (32.31 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 18 kes (27.69 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 26 kes (40 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 33 kes (50.77 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; 36 kes (55.38 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (1.54 peratus) ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 22 kes berbanding semalam, 30 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,363 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), enam kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,468 kes. – UTUSAN