GEORGETOWN: Penduduk Pulau Pinang dinasihatkan tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa walaupun negara memasuki peralihan fasa endemik hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, peralihan fasa itu bukan bermakna negeri ini bebas selama-lamanya daripada Covid-19.
“Orang ramai masih perlu mengutamakan kesihatan memandangkan kes positif Covid-19 masih ada walaupun angkanya menunjukkan penurunan di negeri ini.
“Banyak negara-negara lain seperti di China terpaksa melaksanakan sekatan semula selepas kes positif Covid-19 varian Omicron dikesan dalam kalangan rakyat mereka, kita tidak boleh lalai dan leka pada masa ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pasar Chowrasta, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan Malaysia memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ bermula hari ini.
Dalam pada itu Jagdeep berkata, Pulau Pinang berharap Kerajaan Pusat dapat menyalurkan dana khas sebagai insentif untuk menggalakkan pembangunan hijau dalam usaha mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Katanya, Pulau Pinang mahu menjadi negeri pertama di utara Semenanjung yang menjadi pelopor industri hijau dalam negara.
“Pulau Pinang merupakan antara tiga negeri di Malaysia yang mempunyai bangunan berstatus hijau terbanyak dalam negara selepas Kuala Lumpur dan Selangor.
“Setakat ini Pulau Pinang mempunyai 59 bangunan yang memperoleh penarafan emas atau platinum oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI).
“Kita berhasrat menjadi negeri yang berada di tangga teratas di Malaysia mempunyai bangunan berstatus hijau terbanyak dan berharap Kerajaan Pusat dapat memberikan dana khas bagi tujuan ini kepada negeri-negeri yang aktif menyokong pembangunan hijau,” katanya.
Menurut Jagdeep, pihaknya telah mengarahkan agensi-agensi terlibat untuk memastikan agenda pembangunan hijau menjadi keutamaan di negeri ini. – UTUSAN