PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 18,560 kes berbanding kelmarin, 15,941 kes sekali gus mengatasi 18,253 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam turut merekodkan penurunan kepada 267 kes berbanding kelmarin, 275 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 164 kes berbanding kelmarin, 168 kes.
“Bagi kluster Covid-19 pula, tiada kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, satu kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,932 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 198 kluster berbanding kelmarin, 207 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,734 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 125 kes daripada 18,560 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 18,435 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 125 kes kategori tiga, empat dan lima, 34 kes (27.20 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 50 kes (40 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 41 kes (32.80 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 67 kes (53.60 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas dan 66 kes (52.80 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 44 kes berbanding semalam, 33 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 34,983 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak lapan daripada 44 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,381 kes. – UTUSAN