PUTRAJAYA: Malaysia semalam kembali mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 6,968 kes berbanding kelmarin, 6,069 kes, bagaimanapun diatasi 8,267 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan sebanyak 97 kes yang bersamaan jumlah kelmarin.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 63 kes berbanding kelmarin, 64 kes.
“Bagi kluster Covid-19, empat kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, lima kluster sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 6,999 kluster. Kluster aktif Covid-19 mencatatkan 106 kluster berbanding kelmarin, 109 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,893 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 31 kes daripada 6,968 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 6,937 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 31 kes kategori tiga, empat dan lima, empat kes (12.90 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 15 kes (48.39 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 12 kes (38.71 peratus) telah menerima dos penggalak. Selain itu, 15 kes (48.39 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas dan 19 kes (61.29 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 16 kes berbanding semalam, 12 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,465 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), lapan kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,505 kes. – UTUSAN