PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 7,140 kes berbanding kelmarin, 6,623 kes bagaimanapun diatasi 14,423 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam terus merekodkan penurunan kepada 110 kes berbanding 126 kes kelmarin.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 68 kes berbanding kelmarin, 76 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 18 kes berbanding semalam, 12 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,439 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), empat kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,496 kes. – UTUSAN