PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara hingga Khamis ini setelah disahkan positif Covid-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pula menjalani kuarantin sama hingga Jumaat ini setelah turut disahkan positif Covid-19.
“Perkenan Seri Paduka berdua menjalani kuarantin kendiri selaras dengan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Seri Paduka berdua hanya mengalami gejala ringan. Kesihatan Seri Paduka berdua secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bersempena ketibaan Ramadan, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri walaupun negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik Covid-19 pada 1 April.
Untuk itu, Ahmad Fadil berkata, seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan Seri Paduka berdua dikurniakan kesembuhan segera serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan. – UTUSAN