PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 17,828 kes positif berbanding kelmarin, 19,105 kes sekali gus diatasi 28,003 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan penurunan 358 kes berbanding kelmarin, 371 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan penurunan kepada 199 kes berbanding kelmarin, 203 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan dua kluster berbanding kelmarin, satu kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,914 kluster. Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 292 kluster berbanding kelmarin, 304 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,622 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 156 kes daripada 17,828 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 17,672 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 153 kes kategori tiga, empat dan lima, 33 kes (21.15 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 64 kes (41.03 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 59 kes (37.82 peratus) telah menerima dos penggalak.Selain itu, 109 kes (69.87 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas serta 91 kes (58.33 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menurun sebanyak 63 kes berbanding semalam, 71 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 34,463 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 21 daripada 63 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,245 kes. – UTUSAN