PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 21,483 kes positif berbanding kelmarin, 17,828 kes sekali gus diatasi 32,561 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan penurunan kepada 339 kes berbanding kelmarin, 358 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan kepada 209 kes berbanding kelmarin, 199 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan empat kluster berbanding kelmarin, dua kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,918 kluster. Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 284 kluster berbanding kelmarin, 292 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,634 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 166 kes daripada 21,483 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 21,317 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 166 kes kategori tiga, empat dan lima, 51 kes (30.72 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 64 kes (38.55 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 51 kes (30.72 peratus) telah menerima dos penggalak. Selain itu, 91 kes (54.82 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; 96 kes (57.83 peratus) mempunyai komorbid dan dua kes (1.20 peratus) ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menurun sebanyak 73 kes berbanding semalam, 63 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 34,535 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 25 daripada 73 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,269 kes. – UTUSAN