GEORGETOWN: Semua pemimpin dan ahli DAP yang menghadiri Kongres DAP Ke-17 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor semalam diminta memberi perhatian kepada keadaan fizikal masing-masing dalam tempoh beberapa hari ini selepas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang didapati positif Covid-19.
Naib Pengerusi DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, jika mana-mana pihak didapati mengalami simptom-simptom berkaitan Covid-19, mereka perlu segera menjalani saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi diri dan mereka yang terdekat.
“Saya memahami kongres semalam dihadiri oleh ramai iaitu kira-kira 2,000 orang.
“Oleh itu, saya memakai pelitup muka dua lapis, malah semua ahli turut memakai pelitup muka, hanya pemimpin yang memberi ceramah menanggalkan pelitup muka semasa ceramah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kit Siang yang mengumumkan bersara daripada politik selepas 56 tahun berada dalam parti DAP semalam didapati positif Covid-19 hari ini.
Menurut Kon Yeow, setiap Ahli Dewan Rakyat dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen sebelum persidangan Parlimen dan beliau juga telah menjalani ujian itu pukul 9.25 pagi ini sebelum persidangan.
“Selepas itu, saya baru dimaklumkan oleh Kit Siang di dalam kumpulan WhatsApp beliau telah dijangkiti Covid-19.
“Beliau meminta maaf kepada semua dan kami mendoakan agar beliau cepat sembuh,” katanya. –UTUSAN ONLINE