GEORGETOWN: Malaysia dijangka melepasi kemuncak penularan varian Omicron menjelang hujung bulan ini dengan tanda-tanda penurunan jangkitannya sudah mula dapat dilihat ketika ini.
Malah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam jangkaan itu melihat kepada situasi di negara-negara luar seperti Britain dan Filipina yang kini juga dalam trend penurunan selepas berada pada kemuncak penularan Omicron kira-kira sebulan dan dua bulan lalu.
Jelas beliau, kes jangkitan harian varian tersebut juga dijangka dapat dikurangkan dalam tempoh terdekat berdasarkan pendekatan imuniti kelompok iaitu pemberian vaksin dalam kalangan rakyat.
Ketika ini tambahnya, kira-kira 99 peratus populasi dewasa sudah menerima vaksin Covid-19 manakala kira-kira tiga juta penduduk pula sembuh daripada jangkitan wabak itu yang memberikan mereka imunisasi terhadap varian Omicron.
“Cuma ketakutan kita sekarang adalah sekiranya terdapat varian Covid-19 baharu yang lebih berbahaya, mudah tersebar dan kebal terhadap vaksin, jadi kita perlu bersedia (berdepan kemungkinan ini).
“Tetapi untuk ketika ini, kita tahu varian Omicron memberi maklum balas terhadap vaksin yang kita berikan yang mana ia adalah sesuatu yang baik.
“Jadi kita harap dengan pendekatan imunisasi kelompok yang diambil kerajaan iaitu dengan pemberian vaksinasi, varian Omicron ini dapat dikawal dan kes jangkitan terus menurun sama seperti yang ditunjukkan di negara-negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Mendepani Cabaran Omicron: Adakah Malaysia Bersedia’ anjuran Penang Institute di sini hari ini.
Dalam pada itu menurut Noor Hisham, meskipun negara sedang menuju fasa endemik, namun wabak Covid-19 masih disifatkan pandemik dalam kalangan mereka yang tidak mendapatkan vaksin.
Ini kerana jelas beliau, data-data seperti kadar jangkitan; kemasukan ke hospital; rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU); kematian dan sebagainya menunjukkan jumlahnya adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang tidak mendapatkan vaksin.
“Selain kumpulan anti vaksin yang sukar diyakinkan, ada juga golongan yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana mereka bimbang dengan risiko kesihatan jika mengambil vaksin.
“Saya tidak pernah katakan vaksin tidak ada kesan sampingan kerana semua vaksin ada kesan sampingan, tetapi majoriti kesan itu bukan serius (mild) manakala bagi mereka yang mempunyai risiko penyakit lain pula kesan itu boleh diuruskan (manageable),” katanya. – UTUSAN