IPOH: Kelonggaran pergerakan yang diberikan oleh kerajaan tidak bermakna ancaman wabak Covid-19 sudah pun berakhir, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, langkah-langkah preventif yang dinasihatkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) hendaklah sentiasa dipatuhi.
“Alhamdulillah, mulai 1 April ini, kerajaan telah mengumumkan negara akan melangkah fasa peralihan ke endemik.
“Kelonggaran diberikan membolehkan manusia bergerak dan lebih bebas melakukan aktiviti. Semoga rakyat akan dapat menjalani gaya hidup yang normal, kegiatan ekonomi berupaya dirancakkan dan kemakmuran negara kembali pulih di samping rakyat dapat menikmati suasana hidup riang lagi sejahtera.
“Kelonggaran pergerakan yang diberikan tidak bermakna ancaman wabak sudah pun berakhir. Langkah-langkah preventif yang dinasihatkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan hendaklah senantiasa dipatuhi.
“Rakyat wajib dinasihatkan sama-sama membantu usaha-usaha negara untuk meminimumkan jangkitan dan melindungi negara daripada menghadapi gelombang baharu,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-170 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini.
Titah Sultan Nazrin, bulan Ramadan bakal menjelang merupakan bulan untuk umat Islam meningkatkan amal ibadah secara berkumpulan melalui pelbagai kegiatan.
Baginda bertitah, memandangkan agama Islam dan institusi yang mengendalikan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah, Orang-orang Besar Negeri terutama Orang Besar Jajahan perlu berperanan aktif membantu memantau aktiviti-aktiviti yang berlangsung di masjid dan memberikan nasihat bimbingan yang sewajarnya untuk meminimumkan risiko jangkitan.
“Beta akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak-pihak berkaitan sebelum menetapkan garis panduan dan nasihat kepada institusi agama Islam, masjid dan surau,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, sudah dua tahun umat Islam tidak berpeluang merayakan Aidilfitri bersama anggota keluarga dan sanak saudara akibat Covid-19.
Titah baginda, menjadi hasrat dan harapan baginda pada tahun ini, keriangan menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah lagi ceria dapat dikembalikan.
“Untuk itu, rakyat, terutamanya umat Islam perlu berhati-hati.
“Jangan nanti, aktiviti-aktiviti dalam bulan Ramadan yang mengalpakan amalan kesihatan dan mengenepikan langkah-langkah preventif menjadi penyebab untuk tidak membolehkan Aidilfitri dapat disambut dalam suasana riang dan ceria,” titah baginda. –UTUSAN ONLINE