PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 24,316 kes positif berbanding kelmarin, 22,491 kes sekali gus diatasi 25,512 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan penurunan kepada 321 kes berbanding kelmarin, 332 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan peningkatan kepada 194 kes berbanding kelmarin, 189 kes.
“Bagi kluster Covid-19 pula, empat kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, sifar kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,922 kluster. Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 251 kluster berbanding kelmarin, 273 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,671 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 152 kes daripada 24,316 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki kes harian, 24,164 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 152 kes kategori tiga, empat dan lima, 43 kes (28.29 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 61 kes (40.13 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 48 kes (31.58 peratus) telah menerima dos penggalak. Selain itu, 81 kes (53.29 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 76 kes (50 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan sedikit menurun sebanyak 64 kes berbanding semalam, 65 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 34,664 kes. Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 18 daripada 64 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,302 kes. – UTUSAN