PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 20,923 kes berbanding kelmarin, 21,839 kes sekali gus diatasi 25,467 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, bagaimanapun merekodkan peningkatan kepada 302 kes berbanding kelmarin, 291 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan peningkatan kepada 198 kes berbanding kelmarin, 188 kes.
“Bagi kluster Covid-19 pula, tiga kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, satu kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,926 kluster. Kluster aktif Covid-19 meningkat kepada 232 kluster berbanding kelmarin, 242 kluster, manakala jumlah kluster yang tamat sebanyak 6,694 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 115 kes daripada 20,923 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 20,808 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 115 kes kategori tiga, empat dan lima, 33 kes (28.70 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 48 kes (41.74 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 34 kes (29.57 peratus) telah menerima dos penggalak. Selain itu, 73 kes (63.48 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas serta 63 kes (54.78 peratus) mempunyai komorbid; dan satu kes (0.87 peratus) kes adalah kes ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan menurun dengan jumlah sebanyak 34 kes berbanding semalam, 52 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 34,751 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak lapan daripada 34 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,326 kes. – UTUSAN