200 daripada 207 AEFI kanak-kanak tidak serius - Utusan Malaysia

200 daripada 207 AEFI kanak-kanak tidak serius

ROSHAYATI MOHAMAD SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 200 daripada 207 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah kesan tidak serius sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, sehingga Jumaat lalu, sebanyak 1,239,194 dos vaksin diberikan melibatkan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection (Pfizer-BioNTech) dan vaksin CoronaVac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell) Inactivated.

Setakat ini katanya, sejumlah 207 laporan AEFI dilaporkan melibatkan golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, bersamaan kadar 167 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Kadar pelaporan AEFI bagi golongan kanak-kanak ini adalah lebih rendah berbanding kadar keseluruhan pelaporan AEFI setakat ini iaitu 378 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Majoriti laporan AEFI bagi golongan kanak-kanak bersamaan 97 peratus adalah kesan tidak serius. Kesan yang paling kerap dilaporkan termasuk demam, stres terhadap suntikan atau proses vaksinasi, reaksi kegatalan pada kulit, pening dan sakit kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roshayati berkata, daripada 207 laporan AEFI yang dilaporkan bagi golongan kanak-kanak, terdapat tujuh laporan AEFI serius diterima.

“Bagi enam kes serius adalah yang memerlukan kemasukan ke wad untuk rawatan dan pemantauan lanjut, namun kesemuanya telah didiscaj, yang mana dua kes pulih sepenuhnya dan empat lagi dalam proses pemulihan.

“Satu kes pula melibatkan laporan kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dan masih dalam siasatan lanjut dan hubung kait antara kes kematian dan vaksin belum ditentukan,” katanya.

Beliau berkata, kadar pelaporan AEFI dalam kalangan penerima vaksin golongan itu di Malaysia adalah 0.2 laporan bagi setiap 1,000 dos, yang setara dengan kadar pelaporan AEFI yang diterima bagi golongan sama di negara-negara lain contohnya di Kanada (0.15 laporan bagi setiap 1,000 dos) dan di Australia (0.6 laporan bagi setiap 1,000 dos).

Katanya, kadar pelaporan AEFI yang lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak berbanding penerima vaksin golongan dewasa turut dilaporkan di negara-negara ini.

“Kesan advers yang paling kerap dilaporkan adalah kesan ringan seperti sakit, bengkak, merah dan kegatalan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan.

“Secara keseluruhannya, trend pelaporan AEFI golongan kanak-kanak yang diterima NPRA tidak jauh berbeza dengan apa yang dilaporkan negara-negara rujukan regulatori lain dan tiada isu keselamatan dikesan di peringkat tempatan dan global susulan penggunaan vaksin Covid-19 di dalam golongan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya