Vaksin kanak-kanak; hanya 57 AEFI dikesan  - Utusan Malaysia

Vaksin kanak-kanak; hanya 57 AEFI dikesan 

MURID Tahun Lima, Nur Adib Darwisy Nordin menerima suntikan vaksin daripada Dr. Noor Azmi Ghazali ketika beliau meninjau proses pemberian vaksin PICKids di SK Saujana Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Hanya 57 laporan diterima Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi aplikasi MySejahtera berhubung kes Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) daripada 564,220 kanak-kanak yang telah diberikan vaksin Covid-19 setakat ini. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, daripada 57 kes itu, hanya seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital dipercayai akibat masalah asma yang teruk selepas menerima suntikan vaksin berkenaan. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) berkata, kanak-kanak itu yang sememangnya mempunyai masalah asma bagaimanapun kini telah keluar dari hospital dan berada dalam keadaan sihat sepenuhnya. 

“AEFI ini boleh dianggap seperti gejala sampingan ringan sahaja akibat proses vaksinasi seperti demam, lenguh-lenguh, pening-pening, merah-merah dan sebagainya. 

“Gejala itu biasanya akan hilang sepenuhnya selepas satu atau dua hari,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin di Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut kata beliau, ketika ini, Sarawak mendahului kadar penerimaan vaksinasi untuk kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun diikuti Melaka; Lembah Kelang; Perak dan Pulau Pinang dengan kelima-limanya merekodkan antara 20 hingga 30 peratus. 

Katanya, tiga negeri dengan kadar vaksinasi terendah pula ialah Kelantan, Terengganu dan Sabah dengan kadar vaksinasi di bawah 10 peratus. 

“Untuk Pulau Pinang sahaja, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) merekodkan jumlah vaksinasi tertinggi dalam kalangan kanak-kanak iaitu 31.4 peratus. 

“Kebanyakannya melibatkan kanak-kanak berusia sembilan dan 10 tahun iaitu masing-masing sebanyak 40.3 peratus serta 43.2 peratus,” katanya. 

Dalam pada itu, Dr. Noor Azmi memberitahu, sehingga semalam, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) merekodkan antara 31 hingga 74 peratus pemberian vaksin untuk kanak-kanak berbanding sekolah kebangsaan (SK) iaitu antara 5.9 hingga 21.9 peratus. 

“Hanya Sarawak merekodkan jumlah pemberian vaksin yang hampir sama di SK dan SJKC iaitu masing-masing sebanyak 32.4 serta 34.3 peratus,” ujar beliau. 

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan ibu bapa supaya tidak bertangguh bagi mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka dan tidak mempercayai ‘bulat-bulat’ sebarang berita yang tidak sahih mengenai pemberian vaksin untuk kanak-kanak. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya