PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini sebanyak 435 kluster berbanding semalam, 421 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan peningkatan kepada 17 kluster berbanding semalam, 10 kluster.
“Ia menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,613 kluster. Jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,178 kluster berbanding semalam, 6,175 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merekodkan peningkatan 199 kes berbanding semalam, 187 kes.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan iaitu 115 kes berbanding semalam, 109 kes.
“Malaysia mencatatkan sebanyak 21,315 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 21,072 kes sekali gus mengatasi 8,517 kes sembuh,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 87 kes bersamaan 0.41 peratus daripada 21,315 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 21,228 kes bersamaan 99.59 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi kes kategori tiga, empat dan lima, 16 kes atau 18.4 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 54 kes atau 62.1 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak yang dipercayai kumpulan ini berisiko kerana kemungkinan tahap imuniti terhadap Covid-19 telah menurun dan 35 kes bersamaan 40.2 peratus berumur 60 tahun ke atas.
“Selebihnya, 28 kes bersamaan 32.2 peratus mempunyai penyakit komorbid; dua kes bersamaan 2.3 peratus ibu mengandung dan lapan kes bersamaan 9.2 peratus kes telah meninggal dunia, di mana dua kes bersamaan 2.3 peratus adalah kes kematian yang dibawa ke hospital (BID),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menurun sebanyak 11 kes berbanding semalam, 15 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,125 kes.
Bagi kes BID, sebanyak lima daripada 11 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,493 kes. – UTUSAN