PUTRAJAYA: Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merekodkan peningkatan, 204 kes berbanding semalam, 194 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula merekodkan penurunan iaitu 116 kes berbanding semalam, 120 kes.
Katanya, Malaysia mencatatkan sebanyak 27,831 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 22,133 kes sekali gus mengatasi 7,912 kes sembuh.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan peningkatan kepada 28 kluster berbanding semalam, 16 kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,657 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini sebanyak 467 kluster berbanding semalam, 444 kluster, manakala jumlah kluster tamat sebanyak 6,190 kluster berbanding semalam, 6,185 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 97 kes bersamaan 0.35 peratus daripada 27,831 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 27,734 kes bersamaan 99.65 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi kes kategori tiga, empat dan lima, 24 kes bersamaan 24.7 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 51 kes bersamaan 52.8 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak iaitu kumpulan ini berisiko kerana kemungkinan tahap imuniti terhadap Covid-19 telah menurun.
“Selain itu, lima kes bersamaan 8.9 peratus adalah kes ibu mengandung; 39 kes bersamaan 40.2 peratus berumur 60 tahun dan ke atas; 31 kes atau 63.3 peratus mempunyai penyakit komorbid dan enam bersamaan 6.2 peratus kes kematian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat sebanyak 31 kes berbanding semalam, 24 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 8 malam, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,180 kes.
Bagi kes BID, sebanyak 10 daripada 31 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,514 kes.