KANGAR : Perlis membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sejak dua hari lalu berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri ini.
Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Dr Mohd. Safiee Ismail berkata, pada masa ini, PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) di sini dengan kapasiti 114 katil mempunyai 48 pesakit yang mana tiga daripadanya kanak-kanak.
Katanya, kapasiti katil di HTF pula kini mencapai 74 peratus iaitu 64 katil daripada jumlah keseluruhan 86 katil manakala wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 pula hanya ada dua katil digunakan berbanding jumlah keseluruhan 11 katil.
“Bagaimanapun, kebanyakan pesakit adalah di tahap satu, dua dan tiga sahaja. Kita ada pelan alternatif dengan jumlah katil di PKRC boleh mencapai sehingga lebih 200 katil.
“Namun, kita harus mengambil kira bahawa terdapat juga pesakit lain yang memerlukan katil dan kita tak mahu mengganggu perkhidmatan yang lain. Jadi, kami memohon masyarakat untuk melakukan langkah pencegahan supaya beban dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HTF sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak ( lima hingga 11 tahun) di Dewan CME, HTF di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, orang ramai dinasihatkan tidak panik dengan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini kerana ia masih belum berada dalam tahap kritikal.
Katanya, 99 peratus kes di negeri ini adalah di bawah kategori satu dan dua manakala selebihnya adalah tiga, empat dan lima.
“Peningkatan bukan sahaja di Perlis, tetapi, di negeri negeri lain. Seperti tempat-tempat lain di Malaysia, jangkitan yang dominan adalah Omicron. Jadi, kami tidak menghantar semua sampel untuk dikaji kerana sudah mendapat varian yang dominan.
“Orang ramai tidak perlu panik, namun, jangan lupa sambil lewa hal ini. Kita perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) walaupun sudah ambil vaksin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat kira-kira 20,000 kanak-kanak yang layak untuk menerima vaksin di negeri ini dan sehingga kini 2,100 telah didaftarkan untuk mendapatkan dos tersebut di aplikasi MySejahtera.
Mengulas mengenai pemberian dos penggalak di negeri ini, Sirajuddin berkata, 30 peratus daripada golongan yang layak untuk mendapatkan dos tersebut telah hadir menerima suntikan, bagaimanapun, jumlah tersebut agak rendah berbanding Sarawak yang sudah mencapai 70 peratus pemberian suntikan penggalak.
“Kami sasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada golongan berisiko menerima suntikan dos penggalak. Oleh itu, kami minta mereka yang layak terutamanya warga emas untuk tampil menerima suntikan supaya risiko lebih rendah apabila dijangkiti Covid-19,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE