SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun disahkan positif jangkitan Covid-19, semalam.
Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, sehubungan itu, Aminuddin akan menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan semasa sebagai individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
“Beliau sememangnya menjalani ujian pengesanan Covid-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri melalui kaedah RTK Antigen.
“Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RTK-Antigen dan mendapat keputusan negatif pada Isnin lalu,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, Menteri Besar akan terus memantau dan menjalankan tugas-tugasnya yang sesuai dilaksanakan sepanjang tempoh isolasi.
Semalam Malaysia mencatatkan sebanyak 31,199 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding kelmarin, 27,179 kes sekali gus mengatasi 19,037 kes sembuh.
Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan peningkatan, 305 kes berbanding kelmarin, 286 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat. Iaitu 191 kes berbanding kelmarin, 180 kes.
Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan peningkatan kepada 14 kluster berbanding kelmarin, sembilan kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,746 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini meningkat sebanyak 506 kluster berbanding jumlah kelmarin, 505 kluster. Manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,240 kluster berbanding kelmarin, 6,227 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 194 kes bersamaan 0.62 peratus daripada 31,199 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima. – UTUSAN