PUTRAJAYA: Keengganan menerima dos penggalak dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dalam kalangan masyarakat Melayu ketika ini masih tinggi.
Itu jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang akhbar perkembangan Covid-19, sambil mengakui wujud jurang amat ketara antara penerimaan dos penggalak dan PICKids antara kaum Melayu berbanding kaum lain.
“Bukan kita nak lihat perkara ini dari segi perkauman tapi angka itu sangat ketara di mana satu kaum penerimaan dos penggalak sangat tinggi dan kaum lain pula agak rendah.
“Maka, saya rasa kalau kita tidak mengambil kira maklumat tersebut, kita tidak akan dapat melakukan intervensi yang berkesan. Apa yang kita tahu sekarang ini, keengganan menerima dos penggalak atau PICKids dalam kalangan masyarakat Melayu agak tinggi,” katanya.
Khairy berkata, Kementerian Kesihatan sedang meningkatkan usaha khususnya melaksanakan sesi penerangan dan menjawab satu persatu isu-isu yang tular dalam kalangan masyarakat Melayu mengenai suntikan vaksin.
“Bagaimanapun, ia salah satu cabaran besar tapi kita cuba juga sebab Melayu percaya pada illuminati,” katanya.
Katanya, beliau akui ada segelintir pihak sudah mula menyebarkan berita palsu mengenai kesan buruk selepas mengambil dos penggalak.
Jelasnya, kumpulan ini bukan sahaja enggan menerima dos penggalak untuk diri sendiri sebaliknya mula menyebarkan berita palsu dan berita tidak disahkan mengenai dos berkenaan.
“Kita dapati orang (anti vaksin) ini cuba menakutkan orang lain. Sebelum ini juga, video anak saya divaksin tular dan disunting seolah-olah dicucuk dengan angin sahaja.
“Inilah perkara yang perlu kita atasi menerusi strategi komunikasi yang lebih jelas, pantas dan pengesahan maklumat oleh pakar. Ia penting bagi memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak dan vaksin untuk anak-anak anda,” katanya. – UTUSAN