Masukkan Covid-19 dalam senarai penyakit berjangkit - Utusan Malaysia

Masukkan Covid-19 dalam senarai penyakit berjangkit

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Wabak Covid-19 perlu dimasukkan ke dalam senarai penyakit berjangkit bagi melayakkan golongan ibu bapa mengambil cuti tanpa rekod selama lima hari.

Mencadangkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia mengambil kira kesulitan dihadapi ibu bapa yang terpaksa mengambil cuti tahunan sehingga 10 hari sekiranya anak dijangkiti.

Jelasnya, penambahbaikan itu disuarakan golongan ibu bapa bekerja dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam yang telah mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) baharu kontak rapat, berkuat kuasa pada 15 Februari lalu.

“Saya mohon agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mempertimbangkan semula SOP kontak rapat yang baharu dikeluarkan untuk memasukkan Covid-19 positif dalam senarai penyakit berjangkit.

“Ini sekali gus melayakkan golongan ibu bapa mengambil cuti tanpa rekod selama lima hari, sekiranya anak-anak mereka dijangkiti Covid-19 dan perlu dijaga sepanjang tempoh kuarantin iaitu antara tujuh hingga 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, beliau percaya tidak akan ada pihak yang sudi mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak positif Covid-19, melainkan ibu bapa masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pertimbangan itu juga wajar dilakukan agar ibu bapa dapat fokus dalam penjagaan kesihatan ahli keluarga, tanpa perlu berdepan dengan tekanan tuntutan pekerjaan masing-masing.

“Adalah tidak adil jika ibu bapa, terutama kakitangan kesihatan terpaksa bekerja ataupun terpaksa mengambil cuti tahunan untuk menjaga anak-anak yang positif.

“Jika isteri dapat menjaga anak pada lima hari pertama dan suami pula mengambil giliran menjaga lima hari berikutnya, maka sudah pasti situasi itu lebih memudahkan, mereka juga senang hati jika diminta kembali bekerja selepas itu,” katanya.

Menurutnya, perkara itu juga secara langsung dapat memberi kelegaan kepada golongan barisan hadapan yang sehingga kini sanggup berkorban dalam memastikan keselamatan negara.

“Saya mohon agar Menteri Kesihatan dapat mempertimbangkan cadangan ini yang sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan kepada frontliners kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya