BAGAN SERAI: Pekerja yang dilarang oleh majikan untuk membawa anak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh membuat laporan terus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dikenakan tindakan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, biarpun belum ada laporan diterima mengenai kes sebegitu, namun, pihaknya tetap memantau perkara itu.
“Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula 3 Februari lalu, tidak ada laporan mengenai majikan enggan memberi pelepasan atau melarang pekerja untuk membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksin.
“Melalui sidang akhbar sebelum ini, kita telah meminta semua majikan membantu dengan memberi kelonggaran kepada pekerja seperti kerja separuh hari atau cuti bagi membolehkan mereka membawa anak-anak mengikuti program vaksinasi.
“Difahamkan, ramai ibu bapa sudah mengatur cara mereka sendiri untuk membawa anak-anak mendapatkan vaksin dan saya yakin semua majikan memberi kerjasama baik,” katanya ditemui pemberita selepas melawat program PICKids di Dewan Seri Selinsing, Gunung Semanggol dekat sini hari ini.
Noor Azmi turut menyarankan ibu bapa mendapatkan Imunisasi Covid-19 untuk anak ekoran kebimbangan peningkatan Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem Dalam Kanak-kanak (MISC).
“Berdasarkan kajian di 14 buah hospital, sebanyak 174 orang didapati ada MISC dan daripada jumlah itu, 50.1 peratus jika tak silap saya adalah kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun manakala empat peratus merekodkan kematian,” katanya. –UTUSAN ONLINE