PUTRAJAYA: Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan peningkatan, 216 kes berbanding kelmarin, 204 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula merekodkan penurunan iaitu 141 kes berbanding kelmarin, 116 kes.
Katanya, Malaysia mencatatkan sebanyak 26,701 kes positif menunjukkan penurunan berbanding kelmarin, 27,831 kes sekali gus mengatasi 11,744 kes sembuh.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan penurunan kepada 19 kluster berbanding semalam, 28 kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,676 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini sebanyak 481 kluster berbanding kelmarin, 467 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,195 kluster berbanding kelmarin, 6,190 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 118 kes bersamaan 0.44 peratus daripada 26,701 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 26,583 kes bersamaan 99.56 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 118 kes kategori tiga, empat dan lima, 22 kes atau 18.6 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 71 kes atau 60.2 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19; 25 kes atau 21.2 peratus telah menerima dos penggalak dan 53 kes atau 44.9 peratus berumur 60 tahun dan ke atas.
Selain itu, 49 kes atau 41.5 peratus mempunyai komorbid; empat kes atau 3.4 peratus adalah kes ibu mengandung dan 10 kes atau 8.5 peratus telah meninggal dunia, termasuk dua atau 1.7 peratus adalah kes kematian yang dibawa ke hospital (BID),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat sebanyak 39 kes berbanding semalam, 31 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,240 kes.
Bagi kes BID, sebanyak 17 daripada 39 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,540 kes. –UTUSAN ONLINE