KUCHING: Jumlah kes Covid-19 di negeri ini diramal melonjak kepada empat digit dengan varian Omicron yang kini sudah menjadi penularan dominan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian berkata, graf jangkitan Covid-19 pada varian Omicron meningkat sangat pantas walaupun ia tidak seteruk varian Delta.
“Dalam tempoh kurang daripada 10 hari, kes Covid-19 di negeri ini bertukar daripada satu digit kepada tiga digit dan ia diramal akan meningkat kepada empat digit. Justeru, kita menjangkakan keluk jangkitan akan naik sangat cepat, bagaimanapun ia akan turun dengan cepat dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Varian Omicron tidaklah seteruk berbanding varian Delta. Bagaimanapun, jumlah kes akan menjadi besar, dan kita perlu berhati-hati,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri menggesa rakyat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keselamatan bagi memastikan jumlah kematian Covid-19 tidak meningkat.
“Tahun lepas Sarawak mencatatkan kes kematian kira-kira 4,000 akibat Covid-19. Tidak dinafikan kes kematian mengakibatkan varian Omicron juga mungkin berlaku sekiranya kita tidak memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mengurangkan penularan dalam komuniti.
“Justeru, saya ingin mengingatkan supaya penduduk di Sarawak berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tegas terutamanya jika anda tinggal bersama kumpulan berisiko tinggi.
“Mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi mesti menjalankan penilaian risiko harian kerana hidup dengan virus Covid-19 melibatkan banyak ujian kendiri dan pemantauan kendiri,” katanya. – UTUSAN