PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ke hospital sejak tujuh hari lalu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, dalam tempoh itu, bilangan kes positif Covid-19 meningkat sebanyak 109 peratus.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit Covid-19 turut meningkat sebanyak 42 peratus.
“Terdapat juga kes Covid-19 kategori 1 dan 2 yang tidak serius, namun,mereka dimasukkan ke hospital sebagai langkah awal bagi tujuan pemantauan dan bagi mencegah risiko jangkitan menjadi lebih teruk.
“Kes-kes yang dimasukkan ini adalah kes yang berisiko tinggi seperti ada kes pesakit yang mempunyai penyakit kritikal dan berusia 60 tahun ke atas.
“Melihat kepada situasi ini, kemasukan ke hospital oleh kes-kes Covid-19 pastinya akan meningkat, selari dengan peningkatan bilangan kes harian,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Katanya, antara sebab kemasukan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ke hospital adalah dari golongan penyakit kritikal, baru disahkan penyakit tidak berjangkit, penjaga kepada pesakit pediatrik, kes obstektrik yang perlukan rawatan rapi.
Khairy berkata, golongan lain yang dimasukkan ke hospital adalah daripada golongan pesakit yang terima rawatan kimoterapi, keadaan rumah yang kurang sesuai, kes kanak-kanak, kurang air dalam badan, demam berpanjangan dan tiada penjaga.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya ingin memberi jaminan kepada seluruh Keluarga Malaysia bahawa KKM membuat segala persiapan dan persediaan yang rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang datang bersama gelombang Omicron ini.
Katanya, walaupun negara menyaksikan peningkatan kes harian dan juga bilangan kemasukan ke hospital, namun vaksin mula menunjukkan keberkesanan yang amat baik dalam melindungi individu daripada jangkitan yang lebih teruk.
“Sebab itulah sehingga hari ini, kita hanya menyaksikan sedikit peningkatan dalam bilangan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan juga kes kematian akibat Covid-19.
“Bilangan kemasukan ke ICU dan kematian akibat Covid-19 adalah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding pelaporan pada Ogos tahun lalu walaupun bilangan kes pada ketika ini adalah lebih tinggi,” katanya. –UTUSAN ONLINE