Kajian kesan Covid-19 terhadap wanita dan kanak-kanak  - Utusan Malaysia

Kajian kesan Covid-19 terhadap wanita dan kanak-kanak 

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sedang menjalankan kajian bagi menilai kesan pandemik Covid-19 terhadap wanita dan kanak-kanak yang terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah. 

Kajian itu dijalankan oleh Penang Institute bermula Januari lalu dan dijangka disiapkan menjelang Ogos ini serta dilaksanakan dengan menilai kesan sistem penyampaian perkhidmatan kebajikan masyarakat kerajaan negeri kepada rakyat. 

Melalui kajian itu, Penang Institute menjejak keadaan sosio ekonomi isi rumah penerima manfaat, kebajikan dan kesejahteraan sepanjang Mac hingga Julai 2022. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengiktiraf keluarga sebagai pembina masyarakat, justeru,  kebajikan mereka adalah amat penting serta mesti disokong terutama dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

“Isi rumah yang diketuai oleh wanita lebih menderita, malah, ramai daripada wanita ini yang terdiri daripada ibu tunggal bekerja di sektor tidak formal. 

“Biasanya, mereka tidak mempunyai atau mendapat sedikit sokongan sama ada dari segi kewangan atau sebaliknya dalam menyediakan kelengkapan untuk anak-anak mereka,” katanya ketika berucap pada pelancaran kajian itu di Penang Institute, di sini hari ini. 

Menurut Kon Yeow, bagi kanak-kanak pula, mereka menghadapi gangguan dalam proses pendidikan dan pembelajaran. 

“Disebabkan masalah kewangan isi rumah, pemakanan mereka juga sering terjejas sehingga mengakibatkan masalah kesihatan jangka panjang seperti pertumbuhan terbantut dan fizikal yang lemah secara amnya. 

“Keadaan ini yang melibatkan wanita dan kanak-kanak mesti ditangani dan diperbaiki,” katanya. 

Tambahnya, beliau amat mengalu-alukan kerjasama antara Penang Institute dan UNICEF Malaysia dalam menangani isu tersebut untuk menilai kesan Covid-19 ke atas kanak-kanak dan wanita dalam keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang. 

“Kami menunggu penemuan, pandangan baharu dan cadangan dasar kajian penyelidikan ini bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kebajikan sosial di Pulau Pinang,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya