Jamin tiada pelaksanaan PKPD di seluruh Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Jamin tiada pelaksanaan PKPD di seluruh Negeri Sembilan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebarang sekatan pergerakan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya dilaksanakan hanya akan dikuatkuasakan secara bersasar terhadap mana-mana lokaliti atau kawasan yang dikenal pasti sebagai langkah mitigasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan, perkara tersebut berpandukan keputusan kerajaan yang memberi jaminan untuk tidak lagi melaksanakan sebarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan dalam sektor ekonomi mahupun sosial di sebalik peningkatan jumlah kes harian Covid-19 membabitkan varian Omicron di negara ini.

Sehubungan itu jelasnya, berita bertajuk ‘Negeri Sembilan Bakal PKPD Semula?‘ yang disiarkan sebuah akhbar menerusi medium dalam taliannya semalam, disifatkan Aminuddin sebagai kurang tepat dan mengelirukan.

“Berita tersebut harus dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di negeri ini, sensitiviti dan kebimbangan masyarakat serta cabaran untuk mengimbangi di antara keselamatan rakyat dan kelangsungan ekonomi serta sosial.

“Pelaksanaan PKPD hanya akan dikuatkuasakan secara bersasar terhadap mana-mana lokaliti atau kawasan yang dikenal pasti sebagai langkah mitigasi, kawalan dan pencegahan di kawasan terbabit sahaja tanpa perlu melibatkan keseluruhan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, walaupun semua daerah di negeri ini berada dalam Zon Merah Covid-19 tetapi kebanyakan individu yang dijangkiti berada dalam kategori 1, 2 tanpa gejala atau gejala ringan manakala jumlah kemasukan pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi kategori 3, 4 dan 5 masih lagi terkawal.

“Kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan stesen kuarantin di negeri ini juga masih berupaya untuk menampung bilangan pesakit bagi mendapatkan rawatan atau kuarantin.

“Apa yang lebih penting adalah kesedaran masyarakat terutamanya di negeri ini untuk sentiasa cakna dan prihatin terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), protokol kesihatan yang betul dan aspek kawalan kendiri yang ketat,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin memaklumkan, sehingga semalam, hanya 67.6 peratus penduduk di Negeri Sembilan yang mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19.

“Kerajaan negeri menyeru agar lebih ramai rakyat di negeri ini untuk keluar dan mendapatkan dos penggalak sebagai langkah kawalan dan pencegahan untuk mengelakkan jangkitan atau mengurangkan risiko Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya