PUTRAJAYA: Kluster aktif Covid-19 terus merekodkan penambahan jumlah yang terkini sebanyak 322 kluster berbanding semalam, 318 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster Covid-19 baharu menunjukkan sedikit peningkatan apabila mencatatkan lapan kluster berbanding semalam, tujuh kluster.
“Ia menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,442 kluster. Jumlah kluster tamat sebanyak 6,120 kluster berbanding semalam, 6,116 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sebanyak 5,736 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 5,566 kes sekali gus mengatasi 3,196 kes sembuh.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan penurunan iaitu 54 kes berbanding semalam, 59 kes. Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) turut merekodkan sedikit penurunan, 112 kes berbanding semalam, 113 kes,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 46 kes bersamaan 0.8 peratus daripada 5,736 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, sebanyak 5,690 kes bersamaan 99.2 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan mencatatkan penurunan iaitu tujuh kes berbanding semalam, 13 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,985 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), satu kes daripada tujuh kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,447 kes.