Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi dilanjutkan lagi - Utusan Malaysia

Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi dilanjutkan lagi

LANGKAWI kembali menggamit pelancong selepas pembukaan semula sempadan antara negeri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju agar projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) disambung lagi setelah tempoh tiga bulan pelaksanaannya berakhir kelmarin.

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, ia susulan persetujuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Bil.2/2022 di sini pada 8 Februari lalu.“Projek ini menguji kesediaan dan kesiapsiagaan ekosistem pelancongan negara khususnya penggiat industri serta pekerja barisan hadapan menerima kedatangan para pelancong asing.

“Ketibaan mereka berjaya dilakukan secara berperingkat dan selamat. Justeru, mesyuarat bersetuju melanjutkan LTIB sehinggalah sempadan negara dibuka,” kata kementerian itu hari ini.

Gelembung tersebut mula dilaksanakan pada 15 November lalu bagi memastikan hanya pelancong  lengkap vaksinasi dapat bercuti di pulau peranginan popular ini dengan tempoh minimum tiga hari.

Mereka perlu melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 mengikut tempoh hari yang ditetapkan dengan keputusan negatif dan wajib mengemas kini maklumat dalam aplikasi MySejahtera.  

Mengulas lebih lanjut, kementerian itu memaklumkan bahawa ketetapan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pengembara asing melalui LTIB diselaraskan kerajaan.

“Ini berdasarkan garis panduan terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan diwartakan 16 Februari lalu serta sudah berkuat kuasa pada tarikh sama,” katanya.

SOP berkenaan menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, mengandungi sejumlah lima perubahan yang dikemas kini antaranya melibatkan dos penggalak.

Pelancong yang ada dos itu ujarnya, dibenarkan keluar dari Pulau Langkawi pada hari kelima jika keputusan negatif untuk ujian secara RT-PCR hari keempat atau RTK-Antigen hari kelima.

Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, boleh turut serta melancong dengan ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah diimunisasi tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi.

Seterusnya perubahan itu membolehkan kanak-kanak bawah umur dua tahun tidak perlu lagi saringan Covid-19, manakala penerbangan melalui KLIA2 dibenarkan bermula 22 Februari.

Setiap pelancong asing jelas Nancy, diwajibkan membeli polisi insurans pengembaraan atau Covid-19 bernilai AS$50,000 tetapi rakyat Malaysia dari luar negara dikecualikan syarat ini.

“Adalah diharapkan bahawa perubahan itu akan disambut baik oleh para pelawat antarabangsa yang berhasrat datang ke Malaysia melalui LITB pada masa sekarang,” jelas beliau lagi.

Syarat-syarat lain tidak berubah antaranya ketibaan dan kepulangan masih kekal menerusi laluan udara serta wajib ada pemandu pelancong berdaftar selain ada bukti tempahan hotel.

Warga asing juga perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dalam peranti telefon mereka dan mengimbas kod QR khas ‘Pengembara LITB’ ketika memasuki premis di sekitar Langkawi.

Mereka turut dibenarkan menginap di pulau tersebut sehingga maksimum tujuh hari dan selepas itu, dibolehkan pergi ke mana-mana destinasi di Malaysia jika keputusan ujian negatif. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya