GEORGETOWN: Sebanyak dua lagi kluster pendidikan dikesan di Pulau Pinang semalam iaitu membabitkan pelajar-pelajar di dua buah sekolah menengah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, setakat ini sebanyak 10 kluster dikesan melibatkan pelajar institusi pendidikan dijangkiti Covid-19.
“Dua kluster baharu ialah kluster Jalan Pekan Darat melibatkan pelajar asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Jaya serta kluster Jalan Damai Bukit Mertajam melibatkan Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin.
“Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil beberapa langkah segera bagi membendung penularan wabak ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, sebanyak lapan kluster melibatkan institusi pendidikan antara 14 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan masih berlaku di Pulau Pinang hingga ke hari ini.
Difahamkan, lapan institusi pendidikan itu ialah sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti); empat pusat tahfiz; dua institusi kemahiran serta sebuah politeknik.
Mengulas lanjut beliau berkata, kluster Jalan Pekan Darat mencatatkan sembilan kes manakala kluster Jalan Damai Bukit Mertajam mencatatkan sebanyak 24 kes positif Covid-19 semalam.
“Ketika ini sebanyak 15 kluster aktif dilaporkan di Pulau Pinang iaitu 10 melibatkan kluster pendidikan manakala masing-masing dua sektor perkilangan dan tempat kerja serta satu melibatkan pusat tahanan,” katanya.
Tambah beliau, sehingga semalam jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Pulau Pinang adalah sebanyak 168,583 kes dengan 433 kes baharu dilaporkan semalam.