IPOH: Pejabat Menteri Besar hari ini mengumumkan penangguhan semua program kerajaan negeri berikutan peningkatan kes Covid-19.
Dalam kenyataannya, Pejabat Menteri Besar berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat serta pandangan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).
“Pejabat Menteri Besar Perak menangguhkan semua program kerajaan atas nasihat serta pandangan MKN.
“Keputusan ini dibuat memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang melanda negeri dan negara.
“Bagaimanapun, program yang melibatkan penyampaian bantuan kecemasan, kes Covid-19 serta program-program vaksinasi dan booster akan diteruskan dengan pematuhan SOP yang ketat,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta supaya semua rakyat negeri Perak khususnya, mengamalkan prosuder operasi standard (SOP) serta amalan-amalan kesihatan bagi membendung penularan kes Covid-19.
“Menteri Besar juga menyeru mereka yang belum mendapat suntikan vaksinasi ketiga atau booster supaya segera berbuat demikian,” kata kenyataan itu.
Semalam, Perak mencatat 1,025 kes baharu Covid-19. – UTUSAN