PUTRAJAYA: Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan peningkatan, 238 kes berbanding kelmarin, 235 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula merekodkan penurunan iaitu 130 kes berbanding kelmarin, 132 kes.
Katanya, Malaysia mencatatkan sebanyak 28,825 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding kelmarin, 27,808 kes sekali gus mengatasi 18,514 kes sembuh.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula, merekodkan penurunan kepada 12 kluster berbanding semalam, 16 kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,704 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini sebanyak 492 kluster berbanding kelmarin, 486 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,212 kluster berbanding kelmarin, 6,206 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 95 kes bersamaan 0.33 peratus daripada 28,825 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 28,730 kes bersamaan 99.67 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 95 kes kategori tiga, empat dan lima, 28 kes atau 29.47 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 49 kes atau 51.58 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19; 18 kes atau 18.95 peratus telah menerima dos penggalak dan 41 kes atau 43.16 peratus berumur 60 tahun dan ke atas.
“Selain itu, 48 kes atau 50.53 peratus mempunyai komorbid dan tiada kes ibu mengandung manakala sembilan kes atau 0.03 peratus telah meninggal dunia, termasuk empat atau 0.013 peratus adalah kes kematian yang dibawa ke hospital (BID),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menurun sebanyak 34 kes berbanding semalam, 36 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,310 kes.
Bagi kes BID, sebanyak 12 daripada 34 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,563 kes. –UTUSAN ONLINE