11 daerah di Kedah diklasifikasikan zon merah - Utusan Malaysia

11 daerah di Kedah diklasifikasikan zon merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesemua 11 daerah di negeri ini diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19 dengan sebanyak 29,372 kes aktif dicatatkan di negeri ini setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, ketika ini penularan kes tersebut adalah bersifat sporadik dan tidak lagi bergantung kepada kluster.

Katanya, setakat ini hanya beberapa mukim saja yang berada dalam zon jingga dan kuning dengan kebanyakan kawasan kini sudah pun diklasifikasikan sebagai merah.

“Kebanyakan kes dikesan melalui saringan kendiri dilakukan mereka yang bergejala serta kontak rapat. Dulu kita ada kluster pendidikan, umrah, kilang dan sebagainya tetapi kini kebanyakan kes tersebar secara sporadik. Boleh dikatakan sekarang ini bukan saja majoriti mukim berada dalam zon merah malah di kampung-kampung juga kebanyakannya ada individu yang positif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.

Mohd. Hayati berkata, ketika ini majoriti kes yang ada hanya membabitkan pesakit bagi kategori satu dan dua.

“Hanya sedikit saja individu yang kritikal. Bagi mereka yang demam atau selsema, sila ambil ubat berkaitan. Saya harap mereka yang disahkan positif Covid-19 dapat menjalani kuarantin di rumah masing-masing. Tak perlulah keluar rumah bagi mengelakkan penularan terhadap orang lain,” katanya.

Sementara itu, data 14 hari taburan kes Covid-19 mengikut mukim dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri bermula 7 hingga 20 Februari 2022 menunjukkan Kedah mencatatkan sebanyak 29,372 kes aktif dan 2,254 kes baharu dengan Kota Setar memiliki kes aktif tertinggi iaitu 6,981 kes manakala Kuala Muda pula berada di tempat kedua dengan 6,690 kes. Kulim mencatat jumlah kes aktif ketiga tertinggi berjumlah 4,084 diikuti Kubang Pasu sebanyak 4,016 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya