1,055 sekolah jadi PPV PICKids

1,055 sekolah jadi PPV PICKids

SEORANG kanak-kanak diberikan suntikan vaksin Covid-19 di bawah PICKids di PPV Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,055 buah sekolah dikenal pasti untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Covid -19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang mula beroperasi selewat-lewatnya isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ia adalah satu lagi pendekatan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada murid sekolah rendah iaitu PPV Sekolah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan 1 berkata, kesemua 1,055 sekolah ini akan menjadi pusat pemberian vaksin kepada murid di sekolah tersebut dan murid daripada sekolah-sekolah berdekatan. 

Katanya, bagi pemberian vaksin di sekolah, senarai nama kanak-kanak yang layak akan disediakan pihak sekolah dan dijangka jumlah PPV sekolah akan bertambah dari semasa ke semasa. 

“Pemberian vaksin dilaksanakan pasukan kesihatan sekolah atau pengamal perubatan swasta. Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai aplikasi MySejahtera perlu mendaftar kanak-kanak sebagai tanggungan dalam MySejahtera bagi mendapatkan janji temu vaksin dan sijil digital vaksinasi. 

“Bagi ibu bapa atau penjaga yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan melalui pihak pengurusan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Noor Azmi berkata, bagi melancarkan proses Imunisasi, KPM bersetuju untuk membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau di pusat vaksinasi yang dikenal pasti pihak Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah. 

“Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani kanak-kanak untuk tujuan vaksinasi. 

“Semua ibu bapa dinasihatkan memastikan kanak-kanak yang akan divaksinkan mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan meminum air secukupnya sebelum ke PPV, malah ibu bapa perlu mengawasi kanak-kanak supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin,” katanya. 

Beliau berkata, usaha ini adalah rentetan pelaksanaan PICKids yang dimulakan secara rasmi di peringkat Kebangsaan pada 3 Februari lalu dengan menyasarkan 3.6 juta golongan kanak-kanak berusia lima (mengikut tarikh lahir) hingga bawah 12 tahun. 

Katanya, langkah ini akan melindungi kanak-kanak daripada jangkitan teruk Covid-19 dan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekali gus mencegah kejadian kluster dalam kalangan warga sekolah.

“Berdasarkan rekod, dari 3 hingga 10 Februari lalu, seramai 79,393 kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun telah menerima dos satu vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer BioNTech). 

“Pencapaian tertinggi adalah di Selangor 28,661 kanak-kanak diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 17,887 kanak-kanak, Sarawak 17,877 kanak-kanak, Sabah 4,962 kanak-kanak, Melaka 3,425 kanak-kanak dan Negeri Sembilan 2,728 kanak-kanak,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya