Keberkesanan Vaksin sentiasa dinilai semula apabila mutasi COVID-19 berlaku - Utusan Malaysia

Keberkesanan Vaksin sentiasa dinilai semula apabila mutasi COVID-19 berlaku

ANAS ALAM FAIZLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebergantungan kepada perlindungan vaksin sebagai satu ikhtiar mengelak kemudaratan jangkitan Covid-19 berkemungkinan adalah diperlukan secara berkala atau berdasarkan kekerapan mengikut tempoh tertentu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata, bagaimanapun, keperluan kepada vaksin itu adalah bergantung kepada kajian dari semasa ke semasa dan ini akan disokong oleh data saintifik baharu yang muncul.

Namun, menurut beliau, pada masa ini satu dos penggalak diperlukan dan tindakan serta respons semua pihak berkaitan adalah mengikut data baharu yang dimaksudkan sebagai respons evidence-based.

“Apabila vaksin Covid-19 dibangunkan, belum ada varian seperti Delta atau Omicron. Varian ini muncul kerana Virus Covid-19 boleh berubah dan bermutasi. SARS-CoV2 adalah ‘novel’ coronavirus yakni virus baharu yang pasti akan melalui mutasi.

“Setiap kali mutasi baharu dikesan, kita perlu mengambil kajian untuk memberikan respons terkini. Kita perlu berubah untuk mengatasi mutasi baharu. Kita perlu bersedia dengan situasi penularan terlalu pantas varian Omicron. Sebab itu setiap orang perlu mengambil dos penggalak,” katanya di sini semalam.

Anas berkata, di sesetengah negara suntikan ‘flu’ diambil setiap tahun, namun terdapat juga vaksin yang tahan lama seperti vaksin untuk rubella, tetanus dan measles.

Katanya, vaksin itu tahan lama kerana sifat virus itu sudah dikenali kerana sudah stabil dan tidak lagi bermutasi, maka vaksin berkenaan dapat bertahan berpuluh tahun.

“Namun ini bukan seperti virus Covid-19 yang sentiasa bermutasi. Sampai bila kita perlu bergantung kepada vaksin? Kemungkinan atau tidak (keperluan vaksin tahunan atau sampai tempoh tertentu) akan dijawab dengan kajian dari semasa ke semasa dengan sokongan data saintifik baharu yang muncul.

“Kerajaan telah mengambil tindakan pantas dalam usaha memastikan semua rakyat mendapat perlindungan yang terbaik dengan pemberian dos penggalak. ProtectHealth akan terus membantu dan menyokong semua usaha Kementerian Kesihatan dan kerajaan,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 6,422,084 suntikan dos penggalak sudah diberikan kepada individu negara ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, kumpulan teknikal kementerian itu sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat berikutan ancaman penularan Omicron.

Jelas Khairy, respons kementerian akan berubah mengikut kepada kesan mutasi dan keperluan untuk memberikan lebih daripada satu dos penggalak diputuskan berdasarkan kajian dan respons ‘evidence-based’

Namun, Khairy memaklumkan, apa yang diketahui, setakat ini hanya satu dos penggalak diperlukan bagi meningkatkan ketahanan penerima terhadap Covid-19. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya