ALOR SETAR: Kedah mencatatkan tiga kluster baharu Covid-19 membabitkan institusi pendidikan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, kluster tersebut ialah Kluster Dah Padang Halban di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Kubang Pasu dan Kluster Dah Sungai Kob di SMK Sungai Kob, Kulim.
Menurutnya, Kluster Dah Sungai Limau pula melibatkan SMA Saadah Al-Diniyah Al-Islamiyah, Yan.
“Kluster Dah Padang Halban merekodkan kumulatif 25 kes, Kluster Dah Sungai Kob, kumulatif 37 kes dan Kluster Dah Sungai Limau, kumulatif 37 kes,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, dua kluster baharu diisytiharkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) membabitkan institusi pendidikan di negeri ini iaitu Kluster Dah Jalan Pantai di SMK Kota Kuala Muda dan Kluster Dah Penyarom di Maktab Mahmud Pendang.
Seramai 33 orang pelajar dari SMK Kota Kuala Muda dan seramai 99 pelajar dari Maktab Mahmud Pendang, dikesan positif Covid-19.
Kesemua pelajar terbabit telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Dewan Wawasan Jitra dan PKRC Kulim.