ALOR SETAR: Kedah merekodkan sembilan kluster berkaitan pendidikan dengan satu kluster baharu dilaporkan hari ini dengan membabitkan seramai 1,120 pelajar disahkan positif Covid-19, setakat ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, terdapat satu kluster baharu yang diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Dah Teratai Jingga membabitkan pelajar Maktab Mahmud di sini.
Menurut beliau, kluster pendidikan pertama dikesan adalah pada 11 Januari iaitu Kluster Dah Che Bema sebelum diikuti dengan lapan lagi kluster lain sehingga hari ini.
Katanya, kluster pendidikan kedua dikesan pada 17 Januari iaitu Kluster Dah Jalan Merbau diikuti dengan Kluster Dah Penyarum, Kluster Dah Teluk Teduri, Kluster Dah Jalan Pantai, Kluster Dah Padang Halban, Kluster Dah Sungai Kob dan Kluster Dah Sungai Limau.
“Majoriti yang positif adalah pelajar dan semua sekolah ini sudah diarah tutup selama seminggu dan ada yang lebih bergantung kepada hasil penilaian risiko di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Berikutan itu, beliau meminta orang ramai termasuk warga institusi pendidikan agar terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. -UTUSAN ONLINE