PUTRAJAYA: Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan terus mencatatkan penurunan apabila merekodkan 83 kes berbanding semalam, 90 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga mencatatkan penurunan apabila merekodkan 182 kes berbanding semalam, 193 kes.
Malaysia mencatatkan 0.9 peratus bersamaan 28 kes daripada 3,010 kes positif harian Covid-19 pada hari ini, melibatkan kategori tiga, empat dan lima sekali gus merekodkan penurunan berbanding semalam, 1.0 peratus.
“Bakinya, 2,982 kes (99.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 3,010 kes positif menunjukkan penurunan berbanding semalam, 3,074 kes sekali gus mengatasi kes sembuh yang mencatatkan 2,584 kes.
Katanya, tujuh kluster baharu dicatatkan yang menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,212 kluster.
“Sebanyak 176 kluster aktif direkodkan yang menunjukkan tiada perubahan berbanding semalam yang mencatatkan, 176 kluster.
“Jumlah kluster tamat sebanyak 6,036 kluster berbanding semalam, 6,029 kluster,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan mencatatkan peningkatan sebanyak 19 kes, berbanding semalam, 12 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,781 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak enam daripada 19 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,415 kes.