PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan 1.5 peratus bersamaan 49 kes daripada 3,346 kes positif harian Covid-19 pada hari ini melibatkan kategori tiga, empat dan lima sekali gus merekodkan peningkatan berbanding semalam, 0.9 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya, 3,297 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan terus mencatatkan di bawah 100 kes apabila merekodkan 95 kes berbanding semalam, 92 kes.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 204 kes berbanding semalam, 192 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 3,346 kes positif menunjukkan penurunan berbanding semalam, 3,684 kes sekali gus mengatasi kes sembuh yang mencatatkan 3,052 kes.
Katanya, tiga kluster baharu dicatatkan yang menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,195 kluster.
“Sebanyak 172 kluster aktif direkodkan yang menunjukkan sedikit penurunan berbanding semalam, 178 kluster
“Jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,023 kluster berbanding semalam, 6,014 kluster,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menunjukkan penurunan apabila mencatatkan sebanyak 12 kes berbanding semalam, 15 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,750 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak sifar daripada 12 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,407 kes. -UTUSAN ONLINE